loading...
Fauzi Dollah, 42 |
Fauzi Dollah, 42, yang mendapat 41 jahitan di kepala, belakang badan, tangan dan kaki berkata, beliau lebih kesal sekiranya berlaku perkara yang lebih buruk kepada jirannya berbanding tragedi yang menimpanya, jika tidak berbuat apa-apa sewaktu rompakan tersebut berlaku.
Dalam kejadian 29 Disember lalu, Husin Misban, 70 dan isterinya Amliah Rakijo, 62, yang merupakan jiran Fauzi, berada dalam rumah bersama enam penyamun bersenjatakan parang.
"Pagi itu adik saya sedar ada penyamun masuk ke rumah sebelah. Kami ingat Nenek Emun (panggilan kepada Amliah) tiada dalam rumah sebab kebiasaannya lampu luar rumah menyala. Pagi tu dalam jam 3, ia tak menyala. Tapi tiba-tiba saya dengar suara Nenek Emun macam sebut 'aduh... aduh'... memang saya tak keruan.
"Saya takut mereka cederakan nenek. Itu yang saya tunggu di pintu belakang rumah nenek dengan tujuan nak tangkap salah seorang daripada mereka. Sekurang-kurangnya boleh bantu untuk jejak yang lain kalau ada yang tertangkap.
"Biarlah apa orang nak kata, apa yang saya tau jika sesuatu berlaku pada Nenek Emun, itu lebih membuatkan saya kesal. Dan saya juga takkan serik bantu orang lain jika berlaku kejadian sama," katanya mengimbas kejadian.
"Saya dalam keadaan sedar waktu dipapah ke hospital. Cuma dah terlalu lemah sebab tenaga habis. Di hospital saya lega dapat tau keluarga Nenek Emun tak apa-apa," katanya yang menjalani rawatan selama empat hari di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, dekat sini.
Fauzi mengucapkan terima kasih kepada rakan taulan termasuk Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail yang mengunjunginya ketika di hospital dan memberikan kata-kata semangat.
Isteri Fauzi, Salasiah Ahmad,41, berkata, keadaan suaminya semakin sihat selepas demam beberapa hari.
Fauzi (kiri) bersama isterinya, Salasiah memangku anak bongsu mereka. |
"Masa kejadian pergelutan tu saya dalam rumah dengan anak-anak dan keluarga mentua. Memang kami dapat dengar riuh di luar tapi adik ipar halang kami keluar rumah. Saya tak tau apa yang berlaku cuma apabila keadaan dah senyap, keluar saja pintu saya tengok suami dah berlumuran darah. Saya terjelepuk. Bimbang, takut, gelisah... semua bercampur baur.
"Saya harap polis dapat selesaikan kes ini dan menangkap semua penjenayah. Anak bongsu saya sekarang demam sebab lama tak jumpa ayah sejak ayah dia kena tahan di wad," katanya.
Pasangan tersebut mempunyai lima anak berusia antara tiga dan 21 tahun.
loading...
0 Response to "DiTetak 41 Kali, Lelaki Ini Tetap Tak Patah Semangat Bantu Orang"
Post a Comment